Friday, January 28, 2011

Misteri Manusia Kerdil

PADA zaman purba, di Kepulauan Flores, dipercayai wujud sejenis spesies manusia aneh yang keadaan fizikalnya berlainan sekali daripada manusia normal yang hidup ketika ini.


Jasad manusia aneh itu kerdil sehinggakan kalangan dewasa dalam kelompok mereka hanyalah setinggi kanak-kanak berusia lima tahun.

Mereka memiliki lengan lebih panjang, alis tebal, dahi yang miring, tidak mempunyai dagu dan rahang bawahnya diisi gigi besar tumpul. Gigi depannya lebih kecil seperti gigi manusia moden, lubang mata spesies manusia ini besar dan bulat manakala otak mereka pula hanyalah sepertiga daripada otak manusia sekarang.


Walaupun fizikal spesies manusia aneh ini berbeza daripada jasad manusia yang wujud ketika ini iaitu `Homo Sapiens', perilaku mereka mirip manusia moden.


Mereka menggunakan api untuk memasak dan memburu sejenis gajah primitif yang hidup di wilayah itu dikenali Stegodon. Keupayaan berfikir dan kebijaksanaan mereka terserlah apabila dengan jasad kecil mereka itu, mereka mampu memikirkan taktik untuk menewaskan Stegodon yang seberat 1,000 kilogram.

Kewujudan mereka terus `tersembunyi' di wilayah terasing di Kepulauan Flores,Indonesia itu selama entah beberapa lama sehinggalah pada suatu hari,secara tiba-tiba spesies manusia aneh itu lesap terus di muka bumi ini.


Seorang tua di Flores masih teringat legenda setempat yang diceritakan dari generasi ke generasi sehingga ke zaman moden.


“Di kepulauan kita ini, ada makhluk kerdil beredar selama berabad-abad,suatu ketika dulu. Mereka dinamakan Ebu Gogo, manusia kerdil berbulu yang tingginya hanya satu meter.” demikianlah antara maklumat makhluk legenda yang diceritakan kepadanya dan anak-anak watan Flores secara turun-temurun.

Lelaki tua itu masih tertanya-tanya, benarkah wujud makhluk Ebu Gogo seperti diceritakan legenda masyarakatnya? Jika ya, mengapa makhluk itu tidak lagi ditemui? Jika sudah pupus, apa yang menyebabkan mereka pupus?


Tahun 2003, penyelidik Universiti New England, New South Wales, Australia, mengerut dahi kehairanan tatkala menemui tulang belulang aneh ketika menjalankan kerja arkeologidi gua Liang Bua di Flores. Yakin tulang yang dijumpai bersama fosiltikus raksasa, komodo dan gajah kecil itu adalah rangka manusia tetapi anehnya, ia bersaiz kecil.


Kajian lanjut mendapati ia bukanlah rangka kanak-kanak sebaliknya rangka spesies manusia aneh yang wujud suatu ketika dulu tetapi sudah pupus ketika ini!

Selepas ribuan tahun kekal sebagai rahsia yang tidak diketahui akhirnya kewujudan spesies manusia aneh itu yang kemudian dikenali dengan nama saintifik sebagai `Homo Floresiensis' mula terbongkar.


Seterusnya fosil rangka spesies manusia aneh itu bersama peralatan batu mereka ditemui berterusan dan antara penemuan tulang belulang terbaru dipercayai milik sembilan jasad Homo Floresiensis.

Penemuan rangka sembilan Homo Floresiensis itu bagaimanapun berusia 15,000tahun, membuktikan jarak masa antara fosil pertama dan fosil terbaru adalah 3,000 tahun.


Kumpulan spesies manusia kerdil itu wujud dan membiak di Flores selama 3,000 tahun! Mereka dipercayai terus hidup terasing di pulau itu dalam tempoh amat lama.

Penemuan menimbulkan pelbagai teori mengenai kewujudan Homo Floresiensis. Ada mengatakan mereka pada asalnya bersaiz sama seperti manusia biasa tetapi ketika tiba di kepulauan Flores, keadaan alam mengubah mereka menjadi kerdil, sama seperti kebanyakan haiwan lain di pulau itu yang turut bersaiz kecil.

Sesetengah lain menyangkal teori berkenaan dengan menyatakan bahawa Homo Floresiensis sememangnya spesies manusia yang kecil.


Satu lagi misteri membingungkan menyelubungi penemuan fosil Homo Floresiensis adalah mengapa mereka pupus? Dan benarkah mereka pupus atau mereka sekadar meninggalkan kepulauan Flores dan berhijrah ke wilayah lain?

Terdapat teori menyatakan masyarakat Homo Floresiensis pupus disebabkan lava gunung berapi yang melanda keseluruhan pulau itu tetapi punca sebenar kepupusan atau keghaiban mereka dari dunia ini, tiada siapa yang tahu.


Masih banyak persoalan tidak terjawab mengenai kewujudan Homo Floresiensis atau EbuGogo; mengapa mereka hanya wujud di Flores saja? Adakah mereka masih wujud ketika ini tetapi bersembunyi daripada manusia lain?

FAKTA: Homo floresiensis

Ramai pihak menggelarkan Homo Floresiensis sebagai Hobbit lantaran fizikal spesies manusia itu yang kerdil menyamai gambaran Hobbit yang kerap muncul dalam cerita fiksyen antaranya ‘Lord of The Rings’.

Kajian lanjut mendapati rangka yang ditemui pada September 2003 itu milik perempuan, tingginya ketika berdiri tegak kira-kira satu meter dan beratnya hanya 25 kilogram. Ia dianggarkan berusia sekitar 30 tahun ketika meninggal dunia.


Homo floresiensis menghasilkan peralatan batu seperti pisau batu dan peralatan rumah lain manakala makanan mereka adalah ikan, katak, ular, kura-kura dan burung.

EbuGogo dikatakan berkomunikasi sesama mereka dalam bahasa yang terdengar seperti menggumam dan mampu menirukan ucapan manusia seperti burung kakak tua.

No comments:

Post a Comment