Sunday, January 30, 2011

Misteri Lukisan Gergasi di Gurun Nazca

Lakaran aneh di padang pasir Peru berusia 1,300 tahun masih dikaji

SEBELUM terciptanya kapal terbang, tiada siapa menyangka ada suatu misteri objek aneh terpampang di dataran Gurun Nazca yang terletak di selatan Lima, Peru.

Selama ribuan tahun, misteri itu terus menjadi rahsia yang tidak disedari sesiapa sehinggalah zaman berubah melewati masa dan kemajuan teknologi apabila pesawat mula dicipta. Ketika itu tatkala sebuah pesawat komersial terbang tinggi melintasi gurun berkenaan sekitar 1920-an, juruterbang dan penumpang tergamam melihat pelbagai objek aneh tertera di bumi Peru.

Di hadapan mata mereka, tertera pelbagai lukisan raksasa dalam pelbagai bentuk yang dilukis di atas tanah gurun.

Lukisan yang amat besar sehingga mencapai ratusan meter panjang itu tidak mungkin disedari sesiapa meskipun seseorang itu berjalan di atasnya. Bentuknya hanya jelas kelihatan daripada udara, itupun dari lokasi yang amat tinggi.


Sebaik melihat puluhan objek misteri berbentuk haiwan dan tumbuhan itu, juruterbang dan penumpang berasa hairan dan fikiran masing-masing dipenuhi pelbagai teka-teki.


Lukisan apakah ini? Siapa yang melakar lukisan yang amat besar ini dan apa tujuannya? Sejak bila ia dilukis dan bagaimana dengan bersaiz gergasi, manusia dapat melukis objek itu dengan tepat sehingga membentuk gambar haiwan dan tumbuhan?

Sejak itu, penyelidik dan ahli arkeologi mula memenuhi Gurun Nazca. Ratusan pesawat berterbangan di atas kawasan itu semata-mata mahu melihat dan mengkaji misteri kewujudan lukisan aneh berkenaan.


Kajian mendapati ada ratusan lukisan gergasi yang dihasilkan malah ia meliputi kawasan yang amat luas iaitu sejauh lebih 57 kilometer. Antara objek gergasi yang tertera di permukaan gurun itu adalah monyet, burung, pokok, geometri dan jasad makhluk aneh.


Berdasarkan penemuan artifak arkeologi sekitar kawasan itu, penyelidik mendapati ada kaum tertentu menetap di situ kira-kira 1,300 tahun lalu iaitu antara 200 Sebelum Masihi (SM) hingga tahun 700.

Akan tetapi tidak dapat dipastikan sama ada kaum terbabit yang bertanggungjawab menghasilkan lukisan itu atau lakaran objek aneh terbabit sudah dilukis pihak lain sebelum kewujudan penempatan purba berkenaan.

Proses pembinaannya adalah dengan menoreh permukaan tanah batuan keras berwarna gelap di gurun sehingga tanah itu berwarna lebih terang dan membentuk objek.

Bagaimanapun, misteri yang paling membingungkan penyelidik dan ramai pihak adalah siapa yang melukis lukisan berkenaan dan apakah tujuannya?




Disebabkan ia hanya dapat dilihat daripada udara, manusia yang menghuni kawasan itu tidak menyedari wujudnya lukisan gergasi berkenaan sehinggalah pesawat dicipta.


Lukisan gergasi itu dikatakan dibina sebagai upacara ritual keagamaan penduduk purba dalam menyembah dewa. Oleh itu terdapat lukisan berbentuk makhluk aneh menyerupai manusia. Pihak lain mengatakan dewa yang disembah penduduk purba berkenaan sebenarnya adalah makhluk asing.

Ada pihak percaya misteri di Gurun Nazca itu berkaitan dengan misteri pembinaan piramid dan stonehenge di mana tiga kawasan itu dikatakan menyimpan kuasa tinggi di dunia ini serta kerap berlakunya fenomena fata morgana.

Teori lain mengatakan lukisan berkenaan dibina sebagai kalendar astronomi sekali gus memperlihatkan pihak yang bertanggungjawab menghasilkan lakaran itu sudah mengkaji ilmu kaji bintang sejak zaman purba.


Ahli arkeologi dan matematik Jerman, Maria Reiche percaya garisan pada lukisan mewakili arah pergerakan bintang dan planet tertentu manakala gambar labah-labah dan monyet menunjukkan kumpulan bintang Orion dan Ursa Mayor.

Penyelidik lain, Prof Helaine Siverman mengatakan objek yang dilukis mewakili tanda puak bagi pelbagai puak pribumi yang wujud di kawasan itu, suatu ketika dulu. Lukisan juga berkemungkinan digunakan sebagai peta untuk penduduk bergerak termasuk ke kawasan yang memiliki air di gurun itu.

Satu lagi teori mengatakan penduduk yang menghasilkan lukisan itu sebenarnya sudah membina pesawat menyerupai belon udara panas walaupun ketika itu adalah zaman purba dan lukisan itu berupa tapak pendaratan.

Bagaimanapun, sehingga kini, jawapan sebenar kepada tujuan penghasilan lukisan raksasa itu serta teka-teki mengenai siapa yang menghasilkannya, masih kekal menjadi misteri.


FAKTA: Lukisan Gergasi Nazca
  • Ada lebih 300 lukisan yang berselerak di kawasan seluas kira-kira 500 kilometer persegi.
  • Lukisan terbesar dilukis dengan saiz panjang 270 meter.
  • Terletak antara Pergunungan Andes dan Pantai Peru.
  • Doktor yang juga antropologis tempatan, Toribio Mejia Xespe, dipercayai antara saintis pertama yang mengkaji lukisan Nazca iaitu pada 1927.

No comments:

Post a Comment