Monday, February 7, 2011

Crop Circle Di Jogya

 YOGYAKARTA atau lebih dikenali sebagai Jogja di Indonesia baru-baru ini digemparkan dengan kemunculan corak bulatan ganjil di tujuh petak sawah padi di daerah Krasakan, Sleman. Penduduk di sekitarnya percaya ia dihasilkan oleh objek terbang tidak dikenali (UFO).

Sama ada buatan manusia, makhluk asing atau terbentuk akibat fenomena alam, corak bulatan raksasa itu menarik perhatian ramai selama berminggu-minggu kerana reka bentuk geometrinya yang rapi dan cermat.

Corak bulatan pelik kebiasaannya ditemui di kawasan tanaman gandum di negara-negara Barat seperti Britain sejak tahun 1980.
Bentuk bulatan yang aneh itu dikaitkan dengan UFO di Barat ekoran ia mempunyai bentuk geometri dan tiada saksi yang melihat manusia yang melakukannya.

Bentuk ganjil yang ditemui di Sleman itu mengandungi corak segi tiga dan dua bulatan kecil di tengah-tengah bulatan besar yang berdiameter di antara 25 meter hingga 30 meter. Ia ditemui penduduk tempatan pada pagi Ahad, 23 Januari lalu.

Bulatan itu yang terbentuk berhampiran rumah penduduk kelihatan seperti satu kerja seni geometri manakala kawasan sawah padi lain tidak mengalami sebarang kesan yang sama.

Ketua Polis Sleman, Iwan Ramaini berkata, dia tidak pasti sama ada corak bulatan itu dihasilkan oleh UFO atau merupakan fenomena semula jadi. Satu siasatan polis sedang dilakukan berhubung kejadian itu.

Misteri bulatan bercorak ganjil seperti itu telah lama diperkatakan. Namun, teka-teki itu belum dapat dirungkai sepenuhnya. Ada yang berpendapat kejadian itu telah berlaku di seluruh dunia sebelum kurun ke-20 lagi.

No comments:

Post a Comment